Tuesday, December 11, 2012

Ujian

a post I fully copied from Hilal Asyraf's post on his official page:

Tujuan ujian adalah untuk menguji. Sebab itu namanya adalah ujian. Jika ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan ianya ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman dan menghilangkan kesenangan.

Dalam keadaan ini Allah ingin melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya.

Yang Allah mahu daripada ujian adalah pembuktian kita terhadap keimanan kita.

Saya sering mengulang ayat 2 dari Surah Al-Ankabut:

“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”

Sebab itu, adakah kita mengira, kita akan masuk syurga Allah dengan lenggang kangkung tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala seakan kita tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh walaupun telah berusaha bertahan.

Kita bertanya-tanya, kenapa kita diuji sedemikian rupa?

Ketahuilah, itu hakikatnya adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT.

“Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(hendak sampai)?...” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Iya. Diuji sehingga ke pinggiran gaung. Sehingga tergoncang keimanan mereka. Allah nak bantu atau tidak ini? Tetapi mereka itu memilih untuk terus percaya. Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?

“...(ketahuilah) sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.
-------------------------------
Petikan daripada Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada!

No comments: